DALAM satu program temu bual di televisyen
penulis ditanya mengenai tindakan pemansuhan peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR). Seperti yang dilaporkan dalam akhbar di mana
tahun ini adalah merupakan tahun terakhir pelajar Tingkatan 3 menduduki
peperiksaan awam tersebut. Penulis menyatakan bahawa sebenarnya
peperiksaan PMR tidak dimansuhkan. Peperiksaan itu akan diteruskan pada
tahun-tahun yang akan datang.
Walau bagaimanapun formatnya akan diubahsuai dalam bentuk yang
baharu. Perubahan ini selaras dengan transformasi pendidikan iaitu untuk
menjadikan kaedah pentaksiran lebih bersifat holistik dan berupaya
menilai kebolehan pelajar melalui berbagai komponen.
Huraian transformasi kurikulum dan pentaksiran tersebut dapat dirujuk
melalui 'Bab 4 - Pembelajaran Murid' dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sesungguhnya perubahan ketara peperiksaan PMR yang akan datang ialah
pelaksanaannya menggunakan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
PBS itu mempunyai dua komponen iaitu akademik dan bukan akademik.
Komponen akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan
Pentaksiran Pusat (PP). Sementara itu komponen bukan akademik
mengandungi Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) dan Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PSJSK).
Pentaksiran Sekolah atau PS bermaksud penyediaan soalan dan
pemeriksaan jawapan akan diuruskan sendiri oleh guru di sekolah
berkenaan. Kandungan soalan yang dikemukakan merangkumi pembelajaran dan
pengajaran mulai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
Pentaksiran Pusat atau PP pula merupakan penilaian bertulis yang
disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). LPM akan menyediakan
tugasan, instrumen pentaksiran setara, peraturan penskoran, jadual
pelaksanaan dan garis panduan. Namun demikian guru akan diberi
tanggungjawab untuk mentadbir, mentaksir dan menskor jawapan pelajar
berdasarkan peraturan dan panduan yang telah ditetapkan oleh LPM.
Ini bermakna mulai tahun 2014 semua mata pelajaran dalam peperiksaan
PMR akan ditaksir dalam bentuk PS dan PP oleh guru-guru di sekolah
berkenaan. Tiada lagi peperiksaan berpusat dilaksanakan serentak di
seluruh negara yang dikendalikan sepenuhnya oleh LPM seperti yang
diamalkan sebelum ini.
Apa yang menariknya peperiksaan PMR 2014 yang berwajah baru itu tidak
hanya menilai pelajar melalui komponen akademik atau bidang kognitif
semata-mata. Tetapi turut dinilai ialah komponen bukan akademik
merangkumi bidang sahsiah, bakat dan kebolehan semula jadi pelajar
melalui kaedah Ppsi dan PSJSK.
Menilai
Pentaksiran Psikometrik atau Ppsi merupakan suatu penilaian yang
direkabentuk bagi mendapat maklumat pelajar secara kualitatif dan
kuantitatif. Ppsi menilai keupayaan seseorang untuk bertindak balas
dalam suatu cara tertentu. Ia juga mengukur kebolehan semula jadi atau innate ability dan kebolehan yang diperolehi atau acquired ability daripada pengalaman dan persekitaran.
Di samping itu Ppsi juga turut menilai bakat pelajar dalam bidang
muzik, kreativiti, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, kinestatik
dan kepintaran naturalis. Pentaksiran ini disediakan dalam bentuk
deskriptif mengikut keperluan sama ada secara manual atau berkomputer
oleh guru dan pelajar itu sendiri.
Sementara itu, Pentaksiran Aktiviti Sukan, Jasmani dan Kokurikulum
atau PSJSK adalah untuk mengukur kecergasan dan kesihatan pelajar dalam
pelbagai aktiviti jasmani. Turut ditaksir penyertaan, penglibatan dan
prestasi pelajar dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan ekstra
kokurikulum. Instrumen dan panduan pentaksiran disediakan oleh LPM dan
organisasi berkaitan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing.
Ternyata peperiksaan PMR 2014 yang berwajah baru itu merupakan satu
langkah kehadapan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan sesuai dengan
masa dan keadaan. Pada pendapat penulis sekurang-kurang terdapat tiga
faktor yang membawa kepada perubahan tersebut.
Pertama ialah hasil daripada transformasi pendidikan menerusi
perancangan strategik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Mereka
mendapati peperiksaan awam yang dilaksanakan tidak menguji kesemua
kemahiran yang dihasratkan dalam sistem pendidikan kita. PPPM
menganjurkan agar diambil langkah bagi meningkatkan kerangka pentaksiran
dan menggunakan rujukan standard seperti yang terdapat dalam PBS.
Format pentaksiran baharu ini membolehkan pelajar dinilai berdasarkan
keberhasilan yang lebih luas dan dalam tempoh jangka masa lebih panjang.
Kedua, kerap kali dikatakan bahawa pendidikan kita terlalu
berorientasikan peperiksaan. Kita masih lagi mengamalkan peperiksaan
awam berpusat dan dijalankan serentak di seluruh negara. Kebiasaannya
penilaian terhadap pelajar tertumpu sepenuhnya kepada peperiksaan di
akhir setiap peringkat persekolahan mereka. Sudah sampai masanya
pentaksiran dilakukan dalam tempoh masa yang panjang dan turut menilai
kebolehan pelajar di luar bidang akademik. Oleh itu semestinya komponen
sahsiah, bakat, kebolehan semulajadi dan kokurikulum perlu diberi ruang
dan peluang untuk dinilai.
Ketiga mengembalikan semula peranan mentaksir pelajar kepada guru.
Ketika ini tugas pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan sepenuhnya
oleh guru tetapi tugas menilai pelajar diserahkan pula kepada pihak yang
lain. Sekiranya peranan mentaksir pelajar diberikan sepenuhnya kepada
guru maka ia dilihat lebih memberi keadilan dan kesaksamaan kepada
pelajar yang terdiri daripada berbagai tahap kebolehan dan kepintaran.
Pada hakikatnya, isu guru dikatakan mengajar hanya bagi tujuan
mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering menjadi polemik.
Akibatnya ada yang mengemukakan soalan sama ada peperiksaan awam patut
dikekalkan atau dimansuhkan. Seharusnya apa sahaja peperiksaan tidak
memberi impak negatif kepada pelajar. Namun demikian cabarannya ialah
bagaimanakah peperiksaan awam yang dilaksanakan dapat menguji kesemua
kemahiran seperti yang dihasratkan dalam sistem pendidikan kita.
Justeru dengan pengenalan kaedah penilaian yang berwajah baru melalui
peperiksaan PMR 2014 diharapkan akan menjadi perintis kepada
pentaksiran dalam peperiksaan awam yang lain di masa hadapan.
0 comments:
Post a Comment